Tuesday 21 May 2013

MULTIMEDIA SUPER CORRIDOR

PENGENALAN

Multimedia Super Corridor (MSC) adalah merupakan projek yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996. Melalui pengumuman tersebut, beliau telah menjelaskan bahawa hub MSC adalah seluas 750kilometer persegi iaitu 15 kilometer lebar dan 50 kilometer panjang yang merangkumi KLCC (Kuala Lumpur City Centre), KLIA (Kuala Lumpur International Airport), Putrajaya dan Cyberjaya dan ia akan berpusat di Cyberjaya sebagai satu inisiatif kerajaan untuk menjadikan ICT (Information and Communication Technology) sebagai landasan menuju negara maju pada tahun 2020. Pada tahun ini, Malaysia baru sahaja menerima perkembangan pesat talian internet melalui Jaring (Frost & Sullivan, 2010).

Bagi memastikan MSC berjaya dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi kerajaan telah menetapkan 10 Bill of Guarantee bagi memastikan MSC dapat dilaksanakan dan mendapat sokongan antarabangsa. 10 jaminan kerajaan tersebut ialah(MSC, 2013);

· Menyediakan Prasarana bertaraf dunia dan infrastruktur maklumat.

· Membolehkan pekerjaan tidak terhad pekerja pengetahuan tempatan dan asing.

· Memastikan kebebasan pemilikan dengan mengecualikan syarikat-syarikat dengan Status MSC Malaysia daripada keperluan pemilikan tempatan.

· Memberi kebebasan kepada modal sumber global untuk infrastruktur MSC Malaysia, dan hak untuk meminjam dana global.

· Menyediakan insentif kewangan yang berdaya saing, termasuk Status (100 peratus pengecualian cukai) Perintis untuk sehingga sepuluh tahun atau Elaun Cukai Pelaburan sehingga lima tahun dan tiada duti ke atas pengimportan peralatan multimedia.

· Menjadi peneraju serantau dalam Perlindungan Harta Intelek dan undang-undang siber.

· Memastikan tiada penapisan Internet.

· Menyediakan tarif telekomunikasi berdaya saing di peringkat global.

· Tender kontrak utama infrastruktur MSC Malaysia kepada syarikat terkemuka yang sanggup menggunakan MSC Malaysia sebagai hab serantau mereka.

· Menyediakan agensi pelaksanaan berkuasa tinggi untuk bertindak sebagai sebuah pusat sehenti yang berkesan.

A) PERANAN MSC KEPADA PEMBANGUNAN MASYARAKAT

Sebagai inisiatif kerajaan bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang betul dalam pelaksanaan MSC usaha utama MSC Malaysia ialah menyediakan kemudahan yang diperlukan dan kemahiran teknikal untuk perniagaan tempatan dan asing melalui aplikasi perdana dan perkhidmatan perniagaan sama ada K-Ekonomi, Tabung Dana, K-Pekerjaan, pembangunan Technoprenuer dan sebagainya. Sebagai contoh, pada tahun 2009 MSC telah mewujudkan dana MAC3 yang dilancarkan untuk menyokong penciptaan dan pembangunan atau pembangunan bersama Harta Intelek di bawah Animasi, permainan & Komputer Grafik sub-sektor Multimedia Kreatif kelompok dan antara penerima dana tersebut ialah KRU Production.

Manakala dalam bidang pendidikan, kerajaan dengan kerjasama MSC dan Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewujudkan sebanyak 88 buah sekolah bestari yang mana sekolah ini akan menjadi projek rintis bagi perlaksanaan sekolah bestari Malaysia dan selain itu bagi sekolah-sekolah yang mempunyai inisiatif ICT ia akan menjadi sekolah ICT yang mempunyai kemudahan makmal komputer, peralatan ICT, Pusat Access dan prasarana ICT bagi menyokong usaha kerajaan bagi memastikan semua pelajar mempunyai pengetahuan dalam ICT (Lepawsky, 2005). Setiap sekolah ini dibekalkan capaian internet dengan kerjasama GITN (Sebuah anak Syarikat Telekom Malaysia Berhad) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menyediakan perkhidmatan Schoolnet bagi menyediakan perkhidmatan Internet ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia dan projek ini berakhir pada tahun 2010 dan digantikan pula dengan projek Bestarinet yang dikendalikan oleh YTL bagi memastikan semua pelajar sekolah menengah, sekolah rendah, peringkat kolej dan university mempunyai capaian ke internet dan menjadikan pelajar atau mahasiswa sebagai orang yang mempunyai pengetahuan tinggi dan mampu bersaing di peringkat global (Frost & Sullivan, 2010).

Bagi memastikan hasil kerja yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia tidak menjadi hak Negara lain, Malaysia telah menjadi ahli Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO), Konvensyen Paris, Konvensyen Berne dan menandatangani perjanjian mengenai Aspek Berkaitan Perdagangan Hak Harta Intelek (TRIPS). Oleh itu, sebarang hasil pemikiran, kreativiti dan inovasi masyarakat Malaysia ia akan dilindungi oleh paten hak harta intelek Malaysia bagi memastikan masyarakat Malaysia sentiasa kreatif dan inovatif dalam penciptaan-ciptaan baharu sama ada dalam bentuk fizikal, intelek mahupun perisian(Yap, 2008).

Kerajaan melalui MSC telah menggariskan tujuh inisiatif bagi mencapai status MSC iaitu;

1. Kerajaan Elektronik

2. Kad Pelbagai Guna

3. Sekolah Bestari

4. Telekesihatan

5. Kelompok R & D

6. E-Perniagaan

7. Pusat Pembangunan Usahawan

Bagi menjadikan Malaysia sebagai masyarakat berpengetahuan Malaysia telah menubuhkan Universiti khusus untuk MSC Universiti Multimedia Malaysia (MMU) telah ditubuhkan pada bulan Julai 1996, MMU adalah universiti swasta yang diberikan status akreditasi oleh kerajaan. MMU mempunyai dua kampus yang menawarkan fakulti dalam beberapa bidang teknologi, IT, multimedia kreatif, dan Pentadbiran di Kampus Cyberjaya dan bidang teknologi, Sains Teknologi maklumat, perniagaan, dan undang-undang di kampus Melaka. Terdapat 9000 pelajar prasiswazah dan pasca-siswazah, termasuk pelajar-pelajar asing daripada 31 buah negara (contohnya, Brunei, Sudan, Bosnia, Malawi, Tanzania, India, Sri Lanka, Bangladesh, Indonesia, Turki, China, dan Thailand) mendaftar di MMU dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar (Kamogawa, 2003). Setelah kejayaan penubuhan MMU, beberapa lagi university telah diwujudkan berasaskan kepada ilmu teknologi dan maklumat seperti Universiti Teknologi Pertonas (UTP), Universiti Tun Adbul Razak (Unitar), Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), dan Universiti Industri Selangor (Unisel), mula menawarkan ijazah dalam bidang kejuruteraan, pengajian perniagaan, perubatan, dan multimedia. Sejak itu, beberapa universiti swasta telah tumbuh dan berkembang manakala Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Multimedia dan Universiti Tenaga (UNITEN), dan Universiti Malaya (UM) telah mula menawarkan Multimedia dan Teknologi sebagai kesinambungan bagi memastikan MSC tercapai (Bunnell, 2002).

B) PELAKSANAAN PROJEK MSC

Selepas hampir 17 tahun, pelaksanaan projek MSC telah belum lagi mencapai tahap yang boleh kita banggakan. Terdapat tiga fasa pelaksanaan MSC iaitu;

Fasa 1: (1996-2003) MSC telah berjaya diwujudkan.

Fasa 2: (2004-2010) sekurang-kurangnya empat daripada lima pintar bandar akan

dihubungkan dengan bandar-bandar global yang lain di seluruh dunia.

Fasa 3: (2011-2020) Malaysia akan berubah menjadi satu Koridor Raya Multimedia.

Cybercourt Keadilan Antarabangsa akan ditubuhkan di MSC dan 12

bandaraya bistari akan dikaitkan dengan MSC.

Fasa pertama telah dilaksanakan dengan wujudnya Cyberjaya, Universiti Multimedia Malaysia dan beberapa pelaksanaan MSC itu sendiri berdasarkan tujuh inisiatif kerajaan. Malaysia masih belum mencapai Fasa 2 walaupun tempohnya telah melangkaui tempoh yang ditetapkan, setakat ini ada tiga sahaja yang dihubungkan iaitu Cyberjaya, Bayan Lepas dan Kulim Hitech Park (Bunnell, 2002). Pelaksanaan 12 bandaraya bestari belum lagi dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan sedangkan tempoh masa yang berbaki ialah tinggal tujuh tahun sahaja lagi sebelum ia ditakrifkan telah mencapai matlamat pada tahun 2020. Antara alasan lain kenapa pelaksanaan MSC belum mencapai sasaran yang ditetapkan ialah berkenaan inisiatif kerajaan yang belum dilaksanakan sepenuhnya. Kerajaan Elektronik yang digariskan dalam tujuh inisiatif kerajaan masih belum dilaksanakan sepenuhnya dan masih ada lagi jabatan kerajaan yang menggunakan sistem manual seperti alat perakam waktu, pelaksanaan paperless yang tidak mencapai apa yang diharapkan. Kad Pelbagai Guna yang sepatutnya dijadikan bahan utama belum lagi dilaksanakan walaupun Kad Pengenalan yang hendak digunapakai telah dimasukkan aplikasi MEPS (Malaysia Electronic Payment Systems) tetapi penggunaan nya masih lagi sebagai pengenalan diri dan belum mencapai had Kad Pelbagai Guna walaupun beberapa maklumat boleh dimasukkan seperti Lesen Memandu, Kad Nikah dan Pembayaran tetapi pelaksanaannya tidak mencapai apa yang dihasratkan untuk dilaksanakan kepada seluruh rakyat Malaysia. Sekolah Bestari, setakat ini 88 buah sekolah berkenaan tidak dapat melaksanakan aplikasi kerana kekangan tertentu sehinggakan kerajaan menubuhkan bestarinet sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan di 88 buah sekolah berkenaan. Telekesihatan, tidak lagi dapat menghubungkan antara hospital kerajaan, hospital swasta dan klinik persendirian, klinik kerajaan dan poliklinik bagi memudahkan capaian maklumat pesakit. Kelompok R & D, E-Perniagaan dan Pusat Pembangunan Usahawan masih ditahap rendah, system kepercayaan masyarakat terhadap pelaksanaan E-Perniagaan terutamanya penggunaan kad kredit masih lagi ditahap rendah kerana kerisauan tertipu dengan sistem yang ada dan atas talian. Kerajaan masih lagi tidak dapat melaksanakan sepenuhnya dalam system pendidikan yang direncanakan dan sehingga sekarang Korea Selatan, California, India dan Negara Asia lain telah mencapai satu tahap teknologi yang amat membanggakan tetapi tidak pada Malaysia (Indergaard, 2003). Pelaksanaan WiMax di Korea Selatan dan California telah dilaksanakan seawall 1995 sedangkan pada masa tersebut teknologi masih lagi sistem lama iaitu dail-up (Lee, 2003). Perancangan Jalur Lebar Korea Selatan menjadikan Negara tersebut sebagai ‘keajaiban Korea’ yang merancang masa hadapannya dengan terancang (Maeng, 2004).

Selain itu, kerajaan juga telah melanggar Bill Of Guarentees yang telah ditetapkan iaitu BOGs yang ke tujuh iaitu tiada penapisan internet apabila pada 10 Julai 2007 Suruhanjaya Sekuriti telah menapis dua laman web (Utusan Malaysia, 10 Julai 2007) dan pada 10 Jun 2011 kerajaan telah melakukan penapisan internet bagi 10 laman web perkongsian fail (Hazlan Zakaria, 11 Jun 2011) dan menghalang pengguna mencapai laman web berkenaan walaupun mendapat bantahan daripada warga pengguna internet dengan alasan melindungi hakcipta Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu BOGs diwujudkan sempena penubuhan MSC pada tahun 1996 (Bernama, 10 Jun 2011).

CADANGAN-CADANGAN MENCAPAI VISI DAN MISI MSC

Visi MSC Malaysia adalah untuk mentransformasikan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan yang didorong oleh masyarakat berpengetahuan. MSC Malaysia berazam untuk menerajui transformasi ini melalui ICT melalui bangunan industri dan keupayaan dan pembangunan sosio ekonomi. Bagi memastikan MSC dapat dilaksanakan sebagaimana yang diharapkan menjelang 2020 beberapa perkara perlu dilaksanakan iaitu;

a) Memastikan BOGs dilaksanakan sepenuhnya tanpa alasan.

b) Pelaksanaan Elektronik dipercepatkan

c) Rombakan Sistem Pendidikan Kebangsaan

d) E-Perniagaan dan Usahawan setempat

e) Kajian dan Pembangunan

a) Memastikan BOGs (Bill Of Guarantees) Dilaksanakan Sepenuhnya Tanpa Alasan.

Bill Of Guarantees MSC telah dilaksanakan sempena pelaksanaan MSC tersebut pada tahun 1996 manakala Akta Komunikasi dan Multimedia diwujudkan pada tahun 1998, kerajaan tidak punya alasan untuk melakukan sekatan kerana BOGs telah digariskan terlebih dahulu berbanding akta yang dikemukakan dan begitu juga dengan Suruhanjaya Sekuriti. Kerajaan perlu serius dengan BOGs kerana ia telah diwartakan di peringkat antarabangsa dan ia memerlukan inisiatif kerajaan untuk melaksanakannya. Sebarang pelanggaran BOGs akan menyebabkan syarikat atau badan antarabangsa mula ragu dengan pelaksanaan MSC kerana tidak adanya kepastian untuk melaksanakan garis panduan yang dibuat apabila ada masanya garis panduan tersebut boleh diubah dan dilanggar bila-bila masa sahaja. Kepercayaan terhadap pelaksanaan MSC itu amat penting. Bagi syarikat atau badan antarabangsa yang melihat BOGs memastikan kebebasan pemilikan dengan mengecualikan syarikat-syarikat dengan Status MSC Malaysia daripada keperluan pemilikan tempatan dan insentif-insentif pelepasan cukai boleh sahaja dilanggar atau tidak dipatuhi apabila BOGs bagi tapisan internet secara langsung boleh disekat bila-bila massa sahaja. Oleh itu, untuk menarik semula kepercayaan syarikat atau badan antarabangsa, kerajaan perlu mematuhi apa yang telah digariskan terlebih dahulu (Malairaja, 2003).

b) Pelaksanaan Elektronik Dipercepatkan

Kerajaan Elektronik, Kad Pelbagai Guna dan Telekesihatan adalah perkara yang perlu dititikberatkan. Kerajaan yang mampu melaksanakan kerajaan elektronik bukan sahaja mengurangkan kos pelaksanaan tetapi juga mempercepatkan pelaksanaan dalam semua perkara. Dalam persaingan dunia yang kompetatif dan semakin maju, kerajaan Malaysia perlu melaksanakan inisiatif yang digariskan dengan lebih cepat lagi. Apabila semua badan dan jabatan kerajaan telah disatukan dan dilaksanakan kerajaan elektronik sepenuhnya maka penjimatan dari konsep percetakkan, penggunaan manual dan sebagainya dapat dilakukan dan secara tindak langsung ia juga menggambarkan bahawa kerajaan sudah bersedia untuk melakukan tranformasi dalam sistem pelaksanaan di jabatan kerajaan. Sebagai contohnya, bagi penjawat awam sistem maklumat pekerja terdapat pada HRMIS (Human Resource Management Information System) manakala bagi warga pendidik pula maklumat mereka terdapat pada EMIS (Education Management Information System). Warga pendidik juga adalah penjawat awam. Maklumat pada HRMIS dan EMIS perlulah selari dan berintegrasi agar maklumat ini tidak bertindan dan boleh dicapai dimana-mana sahaja dengan satu pangkalan data. Penggunaan Kad Pelbagai Guna terutamanya penggunaan MyKad perlu diperluaskan dan dilaksanakan kepada semua orang dengan system pembacaan yang banyak dan berkesan serta maklumat yang tepat dan jelas. Semua orang mahukan sesuatu yang mudah dan minima daripada segi risiko. Kad Pelbagai Guna tersebut haruslah boleh mewakili semua kad yang diwujudkan seperti Kad Pengenalan, Lesen Memandu, kad Nikah, Kad Kredit, kad ATM, Kad Kesihatan dan sebagainya dan boleh dicapai dimana-mana sahaja. Kad kesihatan tersebut juga haruslah boleh dicapai melalui telekesihatan yang memudahkan klinik kesihatan, klinik swasta, klinik kerajaan, hospital dan poliklinik serta pelbagai lagi kemudahaan kesihatan sama ada di dalam Negara mahupun di luar Negara dan sistem percayaan serta keselamatannya haruslah 100% boleh dipercayai. Sebagai contoh, seorang pesakit alahan di Negeri Sabah, apabila ia bertukar atau berpindah ke Semenanjung Malaysia, maklumat kesihatannya boleh dicapai dimana-mana sahaja dan penyakitnya boleh dikesan awal dengan menggunakan MyKad. Oleh itu, sebarang komplikasi berkaitan penyakitnya boleh diselesaikan awal dan cepat.

c) Rombakan Sistem Pendidikan Kebangsaan

Sekolah Bestari, pelaksanaan bestarinet, schoolnet haruslah mempunyai kesinambungan dengan apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Setiap sekolah di Malaysia haruslah mmepunyai satu sistem yang seragam antara satu sama lain sama ada ia adalah sekolah menengah, sekolah rendah, sekolah bandar, sekolah pekan, sekolah pedalaman mahupun sekolah pulau. Oleh itu, rombakan perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Kaedah tradisional haruslah diubah sesuai dengan peredaran masa. Penggunaan LCD Projektor, MS Powerpoint dan Multimedia haruslah diterapkan, pengajaran dan pembelajaran dalam ICT haruslah menjadi keutamaan sesuai dengan teknologi semasa. Sistem pembelajaran atas talian seperti E-Learning dengan menggunakan LMS (Learning Management System) boleh dilaksanakan diseluruh sekolah dengan perkongsian fail, maklumat, bahan, multimedia, video, persidangan video dan sebagainya(Minister Of Education, 1997). Maklumat yang disampaikan haruslah sah dari segi bukti, fakta dan mempunyai kebolehpercayaan dengan system pembelajaran atas talian. Sebagai contohnya kerajaan sebelum ini pernah memperkenalkan Eduwebtv iaitu pembelajaran multimedia interaktif secara atas talian. Usaha syarikat Zeal Hitech yang membangunkan eduwebtv harus digunakan sepenuhnya walaupun ia telah diserahkan kepada Bahagian Teknologi Pendidikan, seharusnya eduwebtv harus diteruskan dengan penambahbaikkan bahan yang terdapat di dalamnya.

d) E-Perniagaan Dan Usahawan Setempat

Lelong.com, mudah.my dan lazada.com adalah contoh E-perniagaan dan usahawan setempat yang menggunakan kemuahan ICT untuk mengembangkan pasaran dan perkhidmatannya. Terkenal sebagai stor atas talian seperti ebay dan amazon, perniagaan sebegini haruslah diperkembangkan dengan sistem keselamatan yang dijamin oleh kerajaan dan tindakan segera di atas penyelewangan sekiranya berlaku. Menjadikan usahawan sebegini dan memastikan usahawan lain juga memasarkan produk, perkhidmatan atas talian. Lelong dan Mudah.my bukanlah kedai serbaneka tetapi menyediakan ruang dan peluang kepada peniaga lain untuk memasarkan produk mereka atas talian. Sistem keselamatan yang terdapat di Malaysia dalam melindungi pengguna atas talian belum lagi mantap dan perlu dimantapkan seiringan dengan penggunaan Kad Pelbagai Guna yang dicadangkan. Apabila ini dapat dilaksanakan secara tidak langsung dua inisiatif MSC dapat dicapai.

e) Kajian Dan Pembangunan, K-Pekerjaan

Research and Development (R&D) atau Kajian dan Pembangunan haruslah dilaksanakan disemua sektor sama ada sector kerajaan mahupun sektor swasta. Kumpulan ini haruslah disediakan kemudahan prasarana untuk menguji dan melaksanakan kajian yang dilakukan terutamanya yang melibatkan pembangunan dalam ICT. Teknologi multimedia telah berkembang dengan pesat sepertimana yang berlaku di Korea Selatan apabila teknologi telekomunikasinya telah berkembang seiring dengan teknologi multimedia. Multimedia 2D telah berubah kepada 3D. Sekarang ini, pawagam sudah menayangkan multimedia 3D dan menarik perhatian ramai pihak. Malaysia harus melaksanakan kajian menyeluruh terhadap semua sistem sokongan masyarakat agar Malaysia boleh lebih maju lagi kehadapan. Sebagai contoh, Malaysia adalah pengeluar kenderaan di Perak, Pahang dan Selangor dan pengeluar cip silicon terkenal di Bayan Lepas. Kajian dan pembangunaan antara pengeluar kenderaan dan cip silicon boleh digunakan agar boleh menghasilkan kenderaan berteknologi tinggi. Bagi memastikan semua itu boleh dilaksanakan pewujudan pekerjaan boleh dilakukan dan secara tidak langsung K-Perkerjaan akan menampung sosio ekonomi masyarakat. Insentif kerajaan terhadap syarikat atau badan yang melakukan Kajian dan Pembangunan harus diberikan selain insentif kepada syarikat atau badan yang menawarkan pekerjaan serta ganjaran yang setimpal dengan pekerjaan haruslah diberikan. Ini akan menggalakkan syarikat dan badan antarabangsa melabur di Malaysia dan seterusnya mencapai hasrat sebagaimana diharapkan dalam tujuh inisiatif kerajaan menuju status MSC pada tahun 2020.

KESIMPULAN

Multimedia Super Corridor (MSC) adalah merupakan projek yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1 Ogos 1996. Sehingga hari ini, tahun 2013. MSC secara langsung telah menjalani dua fasa dan tinggal tujuh tahun untuk mencapai fasa ke tiga dan terakhir. Daripada itu, MSC telah menetapkan pencapaiannya untuk mencapai tujuh inistiatif kerajaan bagi memastikan MSC mencapai matlamatnya. Inisiatif seperti;

1. Kerajaan Elektronik

2. Kad Pelbagai Guna

3. Sekolah Bestari

4. Telekesihatan

5. Kelompok R & D

6. E-Perniagaan

7. Pusat Pembangunan Usahawan

Adalah inisiatif yang perlu dicapai oleh kerajaan bagi membolehkan MSC telah mencapai sasaran yang ditetapkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebuah Negara yang Maju seiring dengan perkembangan teknologi. Tetapi dalam tempoh tujuh tahun ini, adalah sukar mencapai hasrat yang diinginkan kecuali dengan usaha yang lebih selain menjadikan inisiatif kerajaan tersebut dalam kelompok dan menjadikan ia satu inisiatif baru untuk dicapai sepenuhnya. Oleh itu, bagi memastikan MSC dapat dilaksanakan dengan baik beberapa cadangan dikemukakan iaitu;

a) Memastikan BOGs dilaksanakan sepenuhnya tanpa alasan.

b) Pelaksanaan Elektronik dipercepatkan

c) Rombakan Sistem Pendidikan Kebangsaan

d) E-Perniagaan dan Usahawan setempat

e) Kajian dan Pembangunan

MSC masih lagi berada dalam landasan yang betul tetapi ia perlulah pantas dalam mengejar fasa yang akan datang. Fasa ke tiga adalah fasa yang kritikal untuk dicapai dan pada masa ini boleh dikatakan Malaysia telahpun sepatutnya mencapai status sebagai Negara maju. Oleh kerana itu, MSC haruslah melonjak secara pantas agar apa juga yang ingin dicapai adalah seiringan dengan perkembangan negara.

(2652 Patah Perkataan menggunakan Microsoft Word Count)

Rujukan

Bernama (10 Jun 2011). SKMM perjelas isu sekatan laman web, Berita Harian, 10 Mac 2013, http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MCMCperjelasisusekatanlamanweb/Article/print_html

Bunnell, T. (2002). Multimedia Utopia? A Geographical Critique of HighTech Development in Malaysia’s Multimedia Super Corridor. Antipode, 34(2), 265-295.

Frost & Sullivan (2010), Policy on ICT in Education Malaysia, Minister Of Education.

Hazlan Zakaria (11 Jun 2011). Laman Pirate Bay bidas sekatan SKMM , Malaysiakini.com, 10 Mac 2013, http://www.malaysiakini.com/news/166632

Indergaard, M. (2003). The webs they weave: Malaysia's multimedia super-corridor and New York City's Silicon Alley. Urban Studies, 40(2), 379-401.

Kamogawa, A. (2003). Higher education reform: Challenges towards a knowledge society in Malaysia. African and Asian Studies, 2(4), 545-563.

Lee, S. M. (2003). South Korea: From the land of morning calm to ICT hotbed.The Academy of Management Executive, 17(2), 7-18.

Lepawsky, J. (2005). Digital Aspirations: Malaysia and the Multimedia Super Corridor. FOCUS on Geography, 48(3), 10-18.

Malairaja, C. (2003). Learning from the Silicon Valley and implications for technological leapfrogging the experience of Malaysia. International Journal of Technology Management & Sustainable Development, 2(2), 73-95.

Maeng, D. M., & Nedovic-Budic, Z. (2004). Chicago and Seoul: A comparative study of the impact of information and communications technologies on urban land use and regulation. Journal of Urban Technology, 11(2), 61-92.

Minister Of Education (1997) The Malaysian Smart School A Conceptual Blueprint

MSC (2013). MSC Malaysia Bill Of Guarantees, MSC, 10 Mac 2013, http://www.mscmalaysia.my/msc_malaysia_bill_of_guarantees

Utusan Malaysia (10 Julai 2007). SC terus sekat laman web pelaburan haram, Utusan Malaysia, 10 Mac 2013, http://www.skmm.gov.my/Media/Press-Clippings/SC-terus-sekat-laman-web-pelaburan-haram.aspx

Yap, L. S., Tasmin, R., Rusuli, M. S. C., & Hashim, N. (2008). Factors Influencing Knowledge Management Practices Among Multimedia Super Corridor (MSC) Organizations. Creating Global Economics through Innovation and Knowledge Management: Theory and Practice.

 

Tulisan: Mazuin Mustapa

No comments:

Post a Comment